1. Kelas Permata telah sampai ke hari 485, 15 hari lagi melalui nisfu (separuh) yang dijadualkan. Ayat 93 sehingga ayat 105 Surah Am Mu’minuun, surah ke 23 di dalam Juzuk ke 18. Untuk pengetahuan, kelas ini tidak berlansung setiap hari, tetapi sekurang-kurangnya 4 kelas dalam seminggu. Pada awalnya ia lebih kerap, tetapi dengan kegiatan kelas tambahan dan saya menghadiri kursus, pada tahun ini bilangan hari seminggu semakin kurang. Bagaimanapun, bilangan akhir kelas ini masih ditetapkan pada 999 hari, atau anggaran awal lebihkurang 3 tahun.
2. Suka saya memetik tiga ayat untuk dikongsi bersama pembaca, iaitu ayat 104 sehingga 106, seperti berikut;
104. Api Neraka itu membakar muka mereka dan tinggallah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.
105. (Sambil dikatakan kepada mereka): Bukankah ayat-ayatKu selalu dibacakan kepada kamu, lalu kamu terus-menerus mendustakannya?
106. Mereka menjawab: Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat.
3. Sebagaimana yang diketahui, ayat-ayat Allah terdapat dalam dua kategori besar, iaitu ayat-ayat yang dimuatkan di dalam Kitab Al Quran, yang berjumlah 6,236 dan ayat-ayat dari Kitab Alam, yang tidak terkira jumlah banyaknya. Ramai yang sedia maklum kehadiran ayat-ayat Al Quran, tetapi jauh lebih ramai yang tidak tahu dan tidak mahu tahu adanya ayat-ayat Kitab Alam. Kehadiran ayat-ayat Al-Quran dalam bentuk tersurat sementara ayat-ayat Kitab Alam merupakan apa yang tersirat di dalam perancangan dan ketentuan Allah.
4. Sebagaimana Surah Al Fatehah menjadi pembuka atau pintu kepada Al-Quran, maka keseluruhan Al-Quran itu pula menjadi pembukaan atau pintu kepada Kitab Alam. Allah menerangkan di dalam Al Quran, bahawa segala kejadian yang berlaku di Alam ini, dengan diambil contoh penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, sebagai tanda-tanda atau ayat-ayat yang membuktikan wujudnya Allah dan kuasaNya. Ayat-ayat Alam inilah yang dirujuk sebagai Sunnah Allah dan Al Quran menjelaskan bahawa ianya tidak pernah dan tidak akan berubah mengikut masa. Lihat Bhg 3 Teori Darwin - Keadilan pada Pintu.
5. Di Bhg 16 Teori Darwin – Hukum garisan dan hukum halangan, saya cuba menarik perhatian kepada mendahulukan yang utama atau mengambingi kehadiran kedua kesan dari jenis ayat-ayat di atas. Malangnya Muslim seakan mendustakan kehadiran ayat-ayat Alam dan ini sangat jelas dapat dilihat kesan pendustaannya dari kemunduran di dalam segala bidang kehidupan di atas muka Bumi ini. Mereka lupa bahawa kehidupan di dunia ini adalah sebagai jambatan ujian yang akan menentukan kehidupan akhirat. Adakah dengan tidak mengambil ujian, atau menduduki bahagian kecil ujian, kita akan lulus ujian?
6. Terlebih lagi malang adanya yang angkuh dengan memperkecilkan dunia seraya berkata “Biarlah mereka menyibukkan diri dengan keduniaan, bahagian kita di akhirat”, setelah hanya melakukan segala suruhan tanpa mahu memahami untuk apa ia dilakukan. Mereka lebih mementingkan ritual dari cuba memahami tujuan melakukannya. Mereka terus melakukannya ibarat robot yang telah diprogram untuk membuat sesuatu, sehinggalah satu hari nanti meraka lenyap dari muka Bumi. Di akhirat kelak alangkah terperanjatnya mereka apabila mendapati di Dunia mereka terlalu asyik dengan duduk di pintu tanpa keluar medalami Kitab Alam.
7. Keredhaan dari Allah akan diperolehi apabila kita tahu mencari keizinanNya di Dunia. Keizinan melalukan sesuatu merupakan ujian kehidupan bagi menentukan kehidupan seterusnya. Jangan diimpikan mendapat keredhaan Allah sekiranya di Dunia tidak mengkaji dan berusaha memahami ilmu Allah yang ditulisNya di Kitab Alam. Segala-gala yang ada di Kitab Alam itulah SunnahNya atau CarakerjaNya, yang hanya Dia berikan kunci ghaib membukanya kepada sesiapa yang berusaha mencarinya. Sesungguhnya ayat-ayat Kitab Alam itulah Sunnah Allah dan sangat menentukan kehidupan di Dunia dan Akhirat.
Komen terbaru