Saya sedang berusaha mengembalikan tumpuan kepada laman ini, tetapi masih gagal. Semuga Tahun baru ini akan memberikan kekuatan untuk melaksanakannya. Terima kasih pengunjung semua, hari ini saya lihat pengira telah melepasi 10,000. Akan kembali secepat yang mungkin. Terima kasih.
Arkib untuk kategori 'Uncategorized'
Selamat Tahun Baru Qamariah, Syamsiah dan Alamiah
Telah terbit Januari 8, 2008 Uncategorized 0 KomenSalam bulan #3
1. 29-Nov menandakan blog saya berumur 3 bulan. Apa yang penting dalam memperingati umur blog, adalah bagi memastikan ianya mencapai tujuan dan matlamat asalnya diadakan. Dengan tidak membuat muhasabah dan melihat kepada kemajuan dan pencapaian, sudah tentu kita tidak menyedari arah mana halatuju yang sebenar. Betigulah juga dengan kehidupan kita seharian. Penting niat dan azam (sebahagian dari DUIT) selaras dengan pembetulan halatuju, perlu dikemaskini setiap masa dan hasil dari penelitian itu, digunakan untuk memperbetulkan situasi yang tersasar atau yang lebih baik memperbaiki apa yang telah dicapai.
2. Walaupun semasa jangka waktu bekerja secara serius selama 17 tahun, saya telah menulis tidak terkira banyaknya surat, lapuran dan berbagai jenis artikel, namun perbezaan penulisan blog saya amat berbeza, dari segi isi yang di tuliskan. Blog saya merupakan luahan, atau lebih tepat cubaan luahan, segala apa yang tersirat di ingatan berkaitan pengalaman mengumpul data-data kehidupan. Semasa sebuk bekerja untuk dunia, saya tidak lupa kepada pencarian jawapan persoalan kehidupan tidak nyata (ghaib) atau kehidupan akhirat. Saya kategorikan sebagai tidak nyata, kerana keperluan kehidupan alam nyata di dunia ini, juga sangat penting untuk diambilkira. Tidaklah menjadi kejayaan sekiranya harapan kejayaan kehidupan akhirat dikejar, tetapi secara tidak sedar kehidupan dunia ditinggalkan. Dunia itu pengukur kejayaan akhirat.
3. Nabi saw diangakt menjadi rasul ketika beumur 40 tahun dan berdasarkan itu, lansung atau tidak, pendapat mengingatkan kita, kehidupan bermula pada umur 40. Pelbagai terjemahan dibuat di situ, berdasarkan suasana persekitaran dan minat yang menterjemah kenyataan itu. Ada yang minat pada menambah tangga pada rumah, terus memetik sunah Nabi sebagai alasan untuk berkhawin lagi, tambahan poket dah agak penuh ketika umur meningkat 40. Ada juga dengan mengjangkau 40, pelbagai jenis penyakit jasmani mula timbul untuk dijadikan kerisauan hidup. Walau apapun kepelbagaiannya, melepasi 40, saya mengalami kehilangan kepercayaan kepada sebahagian besar apa yang dikemukakan kepada saya, oleh orang yang hanya berdasarkan kepada kepercayaan semata-mata, tanpa mahu berfikiran terbuka menanganinya.
4. Maka sebelum berumur 40 cukup taklid saya pada apa yang dikatakan oleh arus perdana. Kalau di Malaysia ini, arus perdananya ASWJ, dalam pada mahu mempertikaikan pendekatan yang diberikan, saya terpaksa akur kerana latarbelakang pelajaran bukan di dalam bidang agama, walaupun semasa kecil terdedah pada sukatan pelajaran Johor yang agak tinggi itu. Kerana kurang berilmu pada waktu itu, segala apa yang diterima perlu ditelan walau tidak diterima akal dan pahit di selera minda. Segala kepahitan menelan itu kesemuanya menjadikan saya sentiasa berfikir dan mengkaji, apa ada disebalik kepahitan yang perlu ditelan itu. Alhamdullilah, bersyukur kepada Allah, apabila melepasi umur 40, saya mendapat kekuatan untuk menolak apa yang tidak mendatangkan selera minda, dengan hujah-hujah untuk menolaknya sekali.
5. Maka satu persatu ilham dari Allah datang, menghurai segala yang telah saya tempuhi dalam kehidupan. Dengan sijil asas kejuruteraan, yang mementingkan logik dan bukti, segala-gala yang berlaku perlu ada dalil aqlinya, walau bagaimana tentangan yang diberikan tentang penggunannya. Kebanyakan penyampaian tradisi dan konventional, tidak mementingkan akal dan kemudian timbul pula mereka yang menganggap tajdid dari tradisi dan konventional, juga tersekat di satu tahap dalam penggunaan akal. Saya mendapati hanya manhaj ilmu sains, yang terbuka luas ke arah penggunaan akal yang maksima. Displin sains memerlukan, pada waktu pembuktian dan pengkajian sesuatu kejadian, kepercayaan seseorang tidak boleh terlibat, sehinggakan ia boleh menimbulkan bias dan prasangka tidak menentu kepada keputusan.
6. Ilmu sains adalah alat untuk menghasilkan bukti. Ia tidak dapat dan tidak boleh menjadi asas membenih kepercayaan atau iman. Keperluan beriman atau percaya perlu, pada asas dan permulaan, tetapi sekiranya ia tidak disambung dengan penggunaan alat (ilmu sains), kepercayaan tersebut akan terus hanya berdasarkan kepercayaan tanpa pembuktian. Itu asas kepincangan umat Muslim hari ini. Terlalu dihantui dengan ugutan kehidupan akhirat, sehingga mati kekuatan pemikiran. Lupakah kita bahawa, hanya dengan pemberian akal, kita layak bergelar manusia? Hanya dengan pemberian ilmu (yang bergantung pada akal) manusia dilantik menjadi khalifah di Bumi Allah ini? Dan beragama itu (Islam) tidak lain hanya kerana berakal? Jadi kenapa pendekatannya selalu menolak penggunaan akal? Untuk mempermudah penyampaian … sehingga semuanya tergelincir dari jalan yang lurus!
7. Dengan belalunya bulan ke 3 ini, saya sudah merasa selesa menulis, walaupun pada asasnya ia tidak berdasarkan mahu menulis, kerana kekuatirkan kesalahan menyatakan fakta dan kebenaran. Tetapi ingatan melepasi umur 40 juga mendewasakan saya untuk menulis berdasarkan tahu atau ilmu, yang saya perlu menulis kerana ramai yang menulis dan menyampaikan tidak berdasarkan fakta atau hanya menyangka fakta sebenar. Ia dibuktikan dengan pelbagaiannya tangapan tentang Syariat Allah yang sebenar. Masing-masing merujuk kepada Al Quran dan Sunnah Nabi yang satu, tetapi tidak menghasilkan satu kesatuan berummah. Bagaimana seterusnya untuk menghasilkan kefahaman kepada kesatuan dalam kehidupan? Hanya menyatakan Allah adalah segala-galanya, tetapi pejalanan hidup seharian tidak membuktikan kefahaman apa yang meniti dibibir. Cakap tidak serupa bikin! (kata yang merempit).
Salam Sunnah
1. Muslim sangat jelas dengan Syariat Allah yang di wahyukan kepada sebahagian rasul-rasul Allah, sebagai panduan menjalani kehidupan di atas muka Bumi ini. Terdapat sekurang-kurangnya 3 Suhuf dan 4 Kitab yang telah diturunkan Allah, dengan Al Quran sebagai yang terakhir dan membenarkan kandungan Kitab-kitab terdahulu. Tidak dinafikan terdapat perubahan berlaku, sesuai tamadun dan zaman, kepada Syariat yang diberikan kepada rasul-rasul berlainan. Ini menunjukkan hidupnya Syariat Allah dan sangat memahami keperluan perubahaan waktu dan tempat, tidak lain dan tidak bukan, untuk menyokong Muslim menjadi khalifah atau pemimpin di atas Bumi ini.
2. Tidak seperti Syariat Allah, Sunnah Allah, juga yang Melayunya membawa makna peraturan, telah ada sejak azali lagi. Sebelum lagi adanya Nabi Adam sebagai manusia pertama, Sunnah Allah telah menjadi program atau aturcara yang menentukan perjalanan Alam ini. Sunnah Allah yang dirujuk sebagai Nature oleh mereka yang tidak percayakan Allah, merupakan hukum halangan (rujuk Bhg 16 Teori Darwin) yang memberikan kesan sertamerta berbanding hukum garisan, yang pembalasannya ditangguhkan sehingga ke hari pembalasan. Kedua-dua Syariat dan Sunnah Allah merupakan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh Muslim dan memahami fungsi setiap satu memberi kesan berbeza yang amat ketara.
3. Terdapat tidak kurang dari 5 ayat di dalam Al Quran (Kitab panduan Syariat Allah) menerangkan tentang Sunnah Allah. Lihat komen 2 dan 3, ‘S04 Tuhan dan Allah’, berhubung ayat-ayat 33:62, 35:43, 40:85, 48:23 dan 33:38, yang semuanya secara terus menceritakan tentang Sunnah Allah. Antara yang paling penting ialah “48:23 Sunnatullah (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu” dan “33:62 Yang demikian adalah menurut Sunnatullah (undang-undang peraturan Allah) yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah itu.”
4. Sunnatullah atau Sunnah Allah, tidak pernah dan tidak akan berubah, tidak seperti Syariat Allah yang pernah berubah mengikut kesesuaian manusia. Sunnah Allah merupakan Superprogram Allah (DARWIN 26 Program dan Superprogram) yang berkaitan dengan apa yang difahami sebagai Qodo dan Qadar Allah, satu dari rukun Iman yang menjadi tunggak kepercayaan kepada ada dan esanya Allah. Qadar Allah tidak berlaku hanya pada yang percaya kepadaNya dan kesan hukumnya tidak mengenal kepada samada pemilihnya Muslim atau tidak. Siapa sahaja yang memilih Qadar yang tertentu, sudah pasti hasilnya tidak berubah. Keizinan Allah diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengkaji dan memahami Sunnah Allah.
5. Ilmu sains, yang satu ketika dahulu dirujuk sebagai ilmu falsafah, adalah ilmu yang mengkaji Alam semulajadi atau Nature. Allah mentarbiah mahluknya melalui AlamNya. Malangnya bahasa yang digunakan dalam pembelajaran Alam ini, tidak semudah bahasa yang digunakan seharian oleh manusia. Segala kunci pekara ghaib ada tersimpan di Alam ini dan menunggu manusia menggunakan akal yang diberikan Allah untuk mencarinya. Malangnya, kegemaran mencari rasia Alam ini tidak berlegar di kalangan Muslim. Kebanyakan, kalau tidak semua, penemuan-penemuan hukum-hukum Alam, yang merupakan Sunnah Allah, dibuat oleh orang yang mengaku Muslim rujuk sebagai bukan-Muslim. Sungguh malang sekali.
6. Keutamaan memahami Sunnah Allah adalah setara dengan kepentingan memahami Syariat Allah. Bagaimanapun, mempelajari Sunnah Allah jauh lebih susah dan memerlukan penggunaan akal yang lebih mencabar. Sudah pasti orang yang tidak biasa dengan rumitnya mempelajari Sunnah Allah, akan mengambil jalan berbeza dengan mengkaji sesuatu yang jauh lebih mudah mendatangkan ketenangan. Sunnah Allah tidak dapat dipelajari tanpa pengorbanan. Dalam menjalankan pengorabanan, ketenangan mempunyai makna berbeza dari ketenangan yang datang tanpa pengorbanan. Secara umumnya, manusia lebih berminat mencari ketenangan dari mengorbankan jiwa untuk mencari kebenaran.
7. Kata kunci dalam memahami Sunnah Allah adalah penggunaan akal ke arah mengkali carakerja Allah. Tidak dinafikan ramai yang sanggup berkorban memeras otak, akal dan minda, cuba memahami carakerja mahluk atau manusia. Manusia yang pada fitrahnya dijadikan resah geliash, sentiasa membuat strategi mengatasi lawan sesama mereka, walaupun membaca nas yang sama. Carakerja manusia sentiasa berkembang tidak seperti carakerja Allah yang tidak berubah mengikut zaman dan tempat, seperti yang termaktub di dalam Al Quran. Bagaimana boleh sesuatu yang sentiasa berkembang mengikut selera manusia, dapat menemui penyatuan dengan tidak mempelajari dari bagaimana carakerja Allah, yang telah dipaparkan di dalam Alam? Sesungguhnya Sunnah Allah sangat-sangat menentukan hasil dari pilihan yang dibuat.
Salam Allah
1. ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ merupakan kalimah tauhid (mengesakan Allah) yang agung, yang dipegang oleh semua orang bernama Muslim. Kalimah yang telah dibawa dan diperjuangkan oleh 124,000 nabi, dengan Nabi Muhammad saw sebagi nabi terakhir. Setiap kali laungan azan mengingatkan Muslim untuk mendirikan tiang agama, maka teringatlah kita kepada kalimah itu. Malangnya kalimah yang seagung itu, tidak dapat menyatukan Muslim di seluruh dunia secara sepenuhnya, dari hasil yang dapat dilihat mengamati keadaan Muslim di pada hari ini. Basahnya bibir Muslim menyebut kalimah tersebut tidak di sambut dengan penghayatan pada perlaksanaan kehidupan Muslim setiap hari.
2. Walaupun kalimah itu menafikan adanya tuhan-tuhan lain, selain Allah, Muslim masih terus berpegang kepada pelbagai tuhan, tanpa mahu mengakuinya, yang dapat dilihat dari perbezaan pendapat dan pendekatan yang memecah-belahkan Muslim dari membuat keputusan sebulat suara secara menyeluruh. Bepuluh jenis mazhab, jalan, tarikat, sirath, manhaj, pendekatan, cara dan sebagainya berkembang di sana sini, dengan tiada kata sepakat, melainkan telalu sedikit untuk menjadikan Muslim satu ummah yang dapat mengawal atau menjadi khalifah di dunia. Dan yang menakutkan, perpechahan ini masih terus berlaku dan dikalang Muslim masih ramai yang menenangkan jiwa dengan berpendapat bahawa perbezaan itu membawa rahmat kepada mereka.
3. Dengan kejayaan Muslim di zaman Nabi dan sahabat mengembangkan Islam dan tanah jajahan Islam, tidak dapat dinafikan bahawa kesan sampingannya ialah penerapan nilai-nilai bukan Arab dan bukan Islam, ke dalam Islam berlaku. Ini menjadi ketara apabila pemerintahan Islam di kurun kedua Hijrah, mengambil langkah memperkembang penguasaan ilmu ke tahap yang belum pernah dilakukan sebelumnya, iaitu dengan menterjemah rujukan-rujukan bukan Arab kepada Arab, bagi menyemarakan lagi perkembangan ilmu, terutamanya yang mengkaji Alam. Maka terdedahlah ilmuan dan pemikir Muslim kepada idea-idea yang datang lebih awal ke dunia Barat seperti Yunani dan Greek.
4. Berkembanglah Ilmu Kalam dan terbitlah pemikiran baru menggunakan ketajaman akal dan minda, cuba menghuraikan pelbagai masalah kehidupan yang datang bersama kemajuan tamadun Islam yang semakin maju. Bersamanya bercambahlah pendekatan baru yang melihat permasaalahan yang sama dari sudut berbeza, dengan masing-masing masih berpegang teguh kepada dua sumber utama Al Quran dan Hadis. Pada masa yang sama perbezaan persekitaran membuatkan penggunaan akal dan minda menjadi terpisah kepada dua golongan utama, yang mahu terus bergantung kepada akal dan minda, dan golongan yang tidak gemar memaksimakan penggunaannya.
5. Kumpulan terdahulu tidak mahu pada asasnya mentawilkan sesuatu yang dirujuk. Apa sahaja yang disebut di dalam nas, itulah yang mesti disampaikan, khuatir tercemar penyampaian yang dibuat. Kumpulan terkemudian pula, menyedari perkembangan tamadun dan pemikiran masyarakat telah berkembang memperbaharui pendekatan dengan mentawilkan kefahaman kepada nas yang digunakan. Nasnya sendiri tidak berubah. Tanpa disedari perbezaan pendekatan ini menghasilkan begitu banyak simpang dan masing-masing berpegang teguh bahawa mereka berada di jalan yang betul. Tidak dinafikan kesemuanya adalah ahus Sunnah wal Jemaah kerana masih merujuk kepada dua sumber utama dengan hanya pentawilan dan penqiyas berbeza.
6. Dengan memberikan keutamaan yang rendah kepada pengkajian tentang Sunnah Allah, Muslim tidak akan dapat menemui satu titik pertemuan yang dapat menyatukan mereka. Al Quran menegaskan hanya Sunnah Allah yang tidak akan berubah, tidak seperti berkembangnya kepelbagaian kemahuan manusia. Memang tidak dapat diketepikan kepalbagaian tersebut, tetapi manusia seharusnya mengkaji dan belajar dari Alam Allah dan membudayakan segala peraturan yang Allah tuliskan di dalamnya, sehingga Allah dapat sentiasa mengizinkan pemintaan Muslim sesuai Qadar yang telah ditentukan, yang tidak dibuat hanya untuk Muslim, bahkan untuk semua manusia.
7. Sehinggalah Muslim dapat menjadikan Sunnah Allah sebagai panduan asas dalam membuat peraturan hidup, serta memperkemas dan memahami asas peraturan yang dituangkan Allah di dalam SyariatNya, Muslim tidak akan berjaya membulatkan tekad bersatu memerangi tuhan-tuhan selain Allah, yang menjadi mainan bibir setiap Muslim. Bukan kerana mentakwil atau mengkias, menyebabkan perbezaan pendapat berlaku, tetapi kerana kesilapan Muslim tidak memberikan keutamaan yang sama pada kefahaman fungsi Sunnah Allah, setaraf dengan keutamaan memahami Syariat Allah, yang akan terus menjadi penghalang penyatuan ke arah menerima Allah yang satu. Sunnah Allah amat menentukan segala-galanya.
Salam Tuhan
1. Agama adalah lanjutan dari berbudaya. Dengan berbudaya unsur-unsur ketuhanan tidak menjadi fokus. Dengan beragama kemasukan unsur ketuhanan menjadi teras kebudayaan. Walaupun Islam (berada di dalam keselamatan dan menyerah diri) telah ada sejak dari azali, kehadiran akal yang sebenarnya menjadi pengukur kepada beragama yang sebenar, kerana sebelum adalnya akal mahluk tidak mempunyai kebebasaan secara meluas dalam menjalankan kehidupan seharian. Budaya kehidupan mahluk sebelum pemberian akal, merupakan budaya mengikut dan menerima apa saya yang diilhamkan oleh Allah kepada mahluknya, contoh dari Al Quran, Allah mengwahyukan lebah untut bersarang di atas busut atau di atas pokok.
2. Dengan alat canggih (akal) baru yang dikurniakan Allah, manusia berevolusi menggunakannya sesuai keperluan harian kehidupannya. Setiap kali berlaku apa yang dirasakan tidak bersesuaian dengan kehendaknya, manusia mengambil langkah memperbaharui cara dan tindakan yang di ambil, bagi memastikan apa yang diperolehi dari persekitaran dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Sudah pasti alat baru ini tidak hanya digunakan ke arah kebaikan sahaja, malah dengan adalanya nafsu yang terlebih dahulu diberikan, manusia cenderung menggunakan akalnya untuk memikirkan keperluan ke arah memaksimakan keseronokkan melayan nafsu berbanding mencari kebenaran.
3. Allah tidak bertindak untuk terus menegur manusia dengan secara terus, melalui pemberian syariat tertentu pada awalnya, sebagaimana tidak adanya disebut Al Quran behubung permberian kitab atau suhuf kepada Nabi Adam. Bagaimanapun Al Quran menceritakan bagaimana anak-anak Nabi Adam belajar dari persekitaran (Alam) dengan meniru gaya perlakuan binatang melakukan sesuatu. Ini merupakan bukti bahawa Allah memberikan manusia kepercayaan penuh terhadap kepandaian mereka menggunakan akal yang baru diberikan. Hanya selepas beberapa waktu, manusia semakin jauh menyimpang dari landasan asal, barulah Allah bertindak mengwahyukan kepada orang-orang pilihannya, untuk membawa peringatan secara terperinci.
4. Budaya sebelum pemberian akal tidak mengharapkan penganutnya mengenal siapa Pencipta Alam ini. Selepas adanya akal, selain dari memperkaya perbendaharaan cara menjalani kehidupan, Allah mengharapkan dengan kepelbagaian ragam manusia, untuk melihat siapa di antara manusia yang akan dapat mengenali Tuhannya. Proses bertuhan ini juga mengambil masa dan dipandu oleh petunjuk dari Allah. Pada peringkat awalnya, segala apa yang berlaku dipersekitaran, yang tidak dapat dihuraikan oleh pemikiran manusia, jalan penyelesaiannya adalah dengan mengatakan itu kehendak dan kekuasaan Tuhan. Maka bermulalah manusia mendefinasikan Tuhan dengan bermacam-macam definasi, sesuai apa yang memberikan impak hebat di dalam kehidupannya.
5. Berbudaya bertukar menjadi beragama apabila kesedaran menyandarkan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan kepada satu kuasa yang luarbiasa, tidak mati, immortal, superbeing dan sebagainya. Allah terus memberikan whuyu menjelaskan Tuhan itu hanyalah satu. Konsep tauhid atau mengasakan Tuhan diberikan kepada manusia seawal Nabi Adam. Namun manusia dengan selera mengikut nafsunya yang kuat, terus mengenepikan peringatan ini dan menganut pelbagai kepercayaan bahawa kekuasaan berada dipersekitaran yang lebih kelihatan dan dapat dirasai mereka. Akibat dari kuasa pasaran berbudaya dan bermasyarakat, yang memberikan hasil lebih lumayan kepada kehidupan, manusia semakin tidak dapat menerina peringatan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.
6. Ketuhanan adalah konsep penciptaan atau pembentukan, pengendalian atau penyelengaraan dan kemudian pembalasan. Kesedaran kepada pengesaan Allah hanya boleh diperolehi dengan memahami peringatan ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ yang kemudian menuju kepada ‘Tiada yang wujud dengan zat melainkan Allah’. Adanya dunianya nyata yang kita alami sekarang ini tidak melayakkan kita untuk mengatakan ‘Ada mahluk dan ada Tuhan’. Sifat ada atau wujud pada zat, hanya layak pada Allah. Kita (mahluk) hanya ada pada nama, seperti contoh adanya baju pada nama kerana sebenarnya baju adalah kain yang asalnya dari kapas dan seterusnya. Selagi penghayatan keberadaan kita tidak menjangkau kepada tahap itu, tidak bermakna agama yang kita anuti disisi Allah, Pembentuk Alam ini.
7. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Tiada yang berzat (bukan vitamin) melainkan Dia. Tiada sesuatu berlaku (termasuk adanya mahluk) dan tiada kuasa untuk melakukan sesuatu (termasuk perlakuan mahluk) melainkan dengan adanya Allah. Mahluk semuanya berwakil kepada Allah pada zat, sifat dan perbuatan. Tetapi ingat Allah memberikan penuh kebebasan hakguna zat yang menjadi HakmilikNya, kepada mahluk, dan mahluk berwasilah kepada mahluk lain untuk tambahan berwakil kepada Allah, terutamnya manusia, secara sedar atau tidak. Maka berterusanlah manusia berinteraksi antara satu dengan yang lain, atas nama bersosial dan bermasyarakat, yang sebenarnya hanya proses berwakil kepada Allah melalui keberadaan mahluk lain. Sebagaimana, secara tidak sedar, kita menggunakan keberadaan Allah semasa mengangkat secawan kopi untuk diminum.
Salam
1. Bulan adalah satelit yang mengelilingi Bumi. Walaupun tamadun besar lain menggunakan Matahari sebagai alat pengukur masa, Islam menjdikan Bulan sebagai pengukur waktu. Dengan melihat kedudukan Bulan, maka menjadi wajiblah pekerjaan sesuatu ibadah itu, seperti Ibadah Haji, Puasa, Zakat sementara ibadah-ibadah lain menjadi wajib apabila sampai waktunya yang telah ditetapkan mengikut cara-cara tertentu. Kepentingan Bulan dirakam di dalam Al Quran, dan memberikan identiti tersendiri kepada Agama Islam.
2. Bulan juga dijadikan lambang ketenangan dan keharmonian malam. Menjadi ilham kepada ahli-ahli seni yang memberikan gambaran Bulan sebagai sesuatu yang ditunggu dalam pepatah ‘menunggu Bulan jatuh ke riba’. Bulan tidak mempunyai cahayanya sendiri, tetapi ia menjadi cermin kepada cahaya Matahari. Perhiasan langit kepada kegelapan malam di samping kegunaannya menjadi rujukan kepada pelayar di lautan luas, bersama-sama bintang-bintang yang lain. Beberapa kejadian di Bumi juga berlaku ketika Bulan mengambang penuh, yang sebenarnya apabila Bulan ketika itu tidak terlindung dari pandangan mata oleh kedudukan Bumi itu sendiri.
3. Bulan juga menjadi pengimbang kepada putaran Bumi di atas paksinya sendiri. Beberapa planet lain yang mengelilingi Matahari juga mempunyai satelit atau bulan tersendiri. Walaupun bilangannya berbeza, fungsinya sama seperti Bulan kepada Bumi. Bagaimana Bumi dan planet-planet lain yang mengelilingi Matahari, berasal dari Matahari, begitulah juga Bulan terbentuk asalnya dari bahagian Bumi. Segala-galanya mempunyai laluan orbit yang telah ditentukan oleh Penciptanya, sebagaiman digambarkan di dalam Surah Yasin. Pengaruh tarikan graviti Bulan menjadikan air di Bumi memmpunyai waktu pasang dan surut, bagi kegunaan manusia.
4. Agama Islam adalah agama yang diiktiraf atau diterima oleh Allah. Al Quran menceritakan adanya pelbagai agama, tetapi hanya penganut Agama Islam sahaja yang akan mendapat keredhaan Allah di kehidupan akhirat kelak. Itupun penganut yang faham akan kehendak Tuhannya. Agama menjadi budaya apabila paksi ketuhanan diketepikan. Islam sebagai agama bermula dari terbentuknya Alam ini sejak azali. Maka keseluruhan Alam ini adalah di dalam keadaan Islam pada asalnya, sehinggalah Allah hendak melihat kesan kepada adanya penciptaan akal sebagai wadah kebijaksanaan, kepandaian dan keilmuan. Maka sewajarnyalah kita mengiktiraf alam tumbuh-tumbuhan dan binatang itu sebagai alam Islam, walaupun rujukan berbudaya lebih sesuai dari beragama untuk alam-alam tersebut.
5. Perlu diketahui dengan itu bahawa Alam keseluruhannya adalah Islam, iaitu dalam keadaan selamat dan menurut perintah Penciptanya, sehinggalah Allah menjadikan mahluk yang diberikan kebolehan untuk mencampakkan diri mereka ke lembah tidak selamat. Dengan adanya akal dan nafsu, manusia menjadi mahluk yang paling banyak diberikan pilihan untuk melaksanakan kehidupan. Segala-gala yang dibentuk pada awalnya boleh dimanfaatkan untuk manusia, terbatas hanya kepada kepintaran akal. Malangnya semua ini tidak berikan begitu sahaja, melainkan akan dipertanggung-jawabkan kepada manusia segala apa yang dia pilih untuk melakukannya. Allah sentiasa memberikan garis panduan melalui Kitab-kitab dan Rasul-rasulNya, agar manusia mendapat cara menjalankan kehidupan sesuai kehendakNya.
6. Islamnya Alam ini tidak bermakna tiada yang negatif atau buruk. Sebenarnya Allah menciptakan segala yang baik, sementara yang buruk datangnya dari pemilihan mahluk yang tidak memilih untuk melaksanakan sesuatu dengan cara yang baik. Bagaimanapun kedua-dua kesan buruk dan baik adalah hasil dari kekuasaan dan keberadaan Allah sebagai Pembentuk Alam ini. Tiada sesuatu berlaku dan tiada kekuatan bagi mahluk untuk melaksanakan sesuatu, tanpa adanya Allah. Hanya Allah yang wujud secara haq atau wujud berzat, walaupun bukan jisim bentuknya. Segala jisim, matters atau material yang ada di Alam ini merupakan terjemahan wujudnya Allah.
7. Pentingnya memahami Islamnya Alam ini, bagi memastikan kita sebagai Muslim, mencari kehidupan yang betul untuk dijalani. Pemerintahan bagaimana yang harus diambil sebagai meneraju kehidupan kita? Keutamaan bagaimana yang harus kita fahami dalam memilih segala yang nampaknya menjadi keutamaan hidup? Terutamanya apabila terlalu ramai yang membuat definasi sendiri, bentuk jemaah yang bagaimana akan mendapat keredhaan Allah dan ibadah yang bagaimana yang perlu diainkan dan dikifayahkan? Mendokong ummah itu adalah keperluan dengan keutamaan mengenal Allah sebagai Tuhan, melalui kefahaman carakerjaNya yang tertulis di Alam ini.
Salam sains,
1. Setelah lebih 2 bulan menggunakan nama Shahru Ad-Din, yang asalnya ialah Sharudin, kini saya tukar nama blog ini kepada terjemaah Melayunya, Bulan Agama. Begitu juga dengan motto utamanya bertukar dari ‘mengkaji’ kepada ‘falsafah’. Carakerja Haliq akan terus menjadi paksi apa yang menjadi berbahasan. Perkataan falsafah ini sebenarnya menakutkan ramai pembaca, kerana umumnya ramai yang tidak mengiktiraf falsafah sebagai cara beragama yang sebenar. Perkataan mengkaji lebih kepada apa yang dilaksanakan oleh saintis-saintis yang bertungkus lumus membuat kajian kepada sains.
2. Apa yang saya paparkan memang bukan hasil kajian kepada carakerja Haliq atau Sunnah Allah atau Ilmu Sains, tetapi merupakan kefahaman tentang apa itu hasil carakerja Haliq atau sains. Ilmu sains itu sendiri masih menjadi fokus, tetapi yang akan di sentuh adalah kaitan antara ilmu sains dan ilmu agama, yang menjadi teras perbahasan. Pengkajian sains sendiri banyak diceritakan di laman lain, dan ia menjadi sokongan kepada apa yang disentuh di halaman saya ini. Sebenarnya Islam sebagai ‘cara menjalankan kehidupan’ tidak menganak-tirikan ilmu sains, tetapi kerana ramainya Muslim yang tidak mahu memahami Islam secara menyeluruh, membuatkan ilmu sains dan agama menjadi terpisah.
3. Islam adalah budaya hidup sejak azali lagi, bermula dari berlakunya Ledakan Besar (Big Bang) yang dianggarkan tidak kurang dari 15 billion tahun dahulu. Pembentukan alam, yang pada mulanya difokuskan kepada pembenaan infrastruktur seperti planet, bintang dan ruang untuk membolehkan kehidupan, kemudiannya membentuk sistem galaksi yang mengandungi Matahari dan Bumi. Bumi yang dianggarkan berumur 5 billion tahun ini, kemudiannya memungkinkan kehidupan berlaku, dengan Nabi Adam, sebagai manusia pertama mendudukinya. Sebagaimana diterangkan oleh Al Quran, kesemua kehidupan berasal dari satu dan kemudian menjadi banyak dengan kepelbagaian yang tidak terkira ragamnya.
4. Dari Ledakan Besar sehingglah pandainya Nabi Adam, alam ini semuanya di dalam keadaan Islam. Segalanya bertasbih memuji Allah, Pembentuknya. Segala kebolehan yang ada pada mahluk sebelum Nabi Adam, juga mempunyai ilmu di tahap minima, yang dibekalkan Allah, membolehkan mereka mengikut aturcara atau program Allah. Hanya selepas pemberian akal sepenuhnya kepada Nabi Adam, barulah segala pilihan yang di buat oleh mahluk bernama manusia dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Maka dengan adanya akal, manusia dapat membuat pilihan yang jauh lebih banyak berbanding mahluk lain, yang juga boleh membuat pilihan tetapi sangat terbatas. Pandainya binatang mencari makanan untuk meneruskan kehidupan, adalah tanda mereka juga mempunyai pilihan. Masakan lembu tahu memilih rumput yang terbaik untuknya, tanpa pengetahuan.
5. Teori Evolusi menerangkan apa sebenarnya berlaku semasa pembentukan kehidupan, selepas infrastruktur asas diadakan, yang dihurai di dalam Teori Big Bang. Al Quran menerangkan lagi bahawa segala kehidupan bermula dari air, disokong dengan penemuan sains yang membuktikan kebenarannya. Penggunaan akal yang diberikan Allah pada tahap yang maksima, akan membolehkan kita memahami penemuan yang dibuat oleh ahli-ahli sains berhubung pembentukan alam, yang merangkumi semua mahluk terutamanya manusia. Yang malang bagi Muslim adalah terlalu ramai yang tidak mahu memikirkan tentang kesan hasil kerja Allah, sebagai bukti kepada kekuasaan Allah, sepertimana diterangkan di alam Al Quran.
6. Saya akan cuba sedaya mungkin untuk menyurat kefahaman saya, tentang carkerja Haliq dari pengkajian dan pemerhatian yang telah dibuat sepanjang hidup saya. Sebagai seorang manusia yang ingin mengenali diri dan Penciptanya, saya telah menghabis masa yang banyak berfikir dan menghubung-kait segala kejadian alam dan ilmu yang telah saya pelajar dari pelbagai sumber, ke arah mencari kebenaran apa yang dipanggil sebagai agama atau cara hidup. Oleh kerana Islam itu adalah cara menjalankan kehidupan, maka ruang lingkup pencapaiannya sangat luas, tidak seperti yang terbatas sekarang ini kepada hal-hal tertentu sahaja, sebagaimana pendapat yang popular. Malangnya terlalu ramai Muslim memilih cara yang tidak meluaskan pemikiraan dengan harapan untuk mendapat ketenangan dalam kehidupan. Atau terlalu ramai yang hanya mahu bergantung kepada dahan yang rapuh.
7. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengunjung dan pembaca, yang telah dan akan terus melawat halaman saya ini. Semoga dengan izin Allah, kita sama-sama akan mendapat manfaat dari penulisan ini dan dapat menghargi segala kenikmatan yang diberikan Allah secara percuma ini. Maha Pengasih dan Penyayangnya Pencipta, Dia telah memberikan sepenuh HakmilikNya untuk dijadikan hakguna kepada mahluk, samada kita sedari atau tidak. Hanya dengan memahami carakerjaNya, kita akan dapat mengenali Allah dengan berkesan dan tiada keraguan. Kepercayaan semata-mata tidak dapat memberikan keyakinan yang sebenar. Kita mungin yakin telah berpaut di dahan, tetapi tidak dapat memastikan bila dahan yang rapuh itu akan patah?
Assalammualaikum semua,
Atas galakan seorang kenalan maka lahirlah bolg ini.
Tujuannya, seperti yang termaklum, untuk menyurat apa yang tersirat. Hidup yang indah ini perlu di dihargai. Setiap hari medapat ilham untuk melakukan aktibiti hidup harian, sesekali terdapat sesuatu yang patut disuratkan bagi peringatan dihari mendatang. Mungkin kita akan lupa apa yang pernah kita fikirkan, sekiranya tiada catatan. Disamping itu dengan adanya pembaca sekalian dapat dikongsi bersama pengalaman yang dilalui.

Komen terbaru